BAB 2
Kepala Anya berdenyut bagaikan penukul-penukul kecil sedang mengetuk pada ribuan bahagian di tengkoraknya, tetapi mereka nampaknya lebih utamakan bahagian dahi atas matanya. Dia takut untuk membuka kelopak matanya, takut sakit itu akan bertambah. Apa yang telah terjadi kepadanya? Dia tidak ingat bagaimana dia telah mencederakan dirinya, dan dia tidak mahu tahu.
Cahaya terang tersinar di atasnya, memaksa Anya untuk menghalang dengan lengannya. Dia tolehkan kepalanya sehingga matanya, yang masih tertutup, ditekup dengan bahagian lipatan lengannya. “Siapa pula yang buka lampu?” katanya dengan marah.
“Sudah tiba masa untuk bangun, Cik Ana,” kata seorang wanita. “Duke dan duchess akan ke bawah untuk sarapan sebentar lagi. Ayah kamu harap kamu dapat menjadi seorang wanita sejati.”
“Saya memang wanita sejati,” dia betulkan wanita itu. Pangkat Lady memang telahpun diberikan kepadanya. “Saya tak rasa begitu sihat. Tolong sampaikan salam.” Anya selesakan dirinya ke dalam selimut. Kata-kata wanita itu terngiang-ngiang dalam kepalanya. “Siapa duke dan duchess?” Lebih pentingnya, siapa perempuan ini, dan kenapa dia begitu selesa memecah masuk bilik Anya? Ada sesuatu yang tidak kena.
Dengan penuh berhati-hati, Anya menurunkan selimutnya dan membuka sebelah matanya. Wanita tersebut berpakaian labuh berwarna kelabu kusam. Ia kelihatan... kuno. Anya tidak dapat fikirkan istilah yang lebih baik untuk menerangkan wanita itu. “Kamu siapa?”
“Sudah, sudah, Cik Ana,” katanya sambil menghayunkan jarinya. “Pura-pura sakit tidak akan keluarkan diri kamu dari situasi ini. Kamu tahu tanggungjawab kamu.” Wanita itu mengangkat pakaian biru yang kelihatan lebih mewah daripada pakaian kelabunya, tetapi ia masih kelihatan lama. “Ini pakaian hari kamu. Selepas sarapan, kamu akan bersiap sedia untuk menaiki bot. Perjalanan kamu jauh, dan ia akan makan masa untuk tiba di Jerman.”
Dia panggil Ana? Dia terlepas panggilan itu pada kali pertama. Wanita itu fikir Anya itu orang lain ke? Dia menggigit bibir bawahnya, hairan tentang semua yang sedang berlaku. Kepalanya masih berdenyut dengan kuat. Ada satu sahaja cara untuk tangani situasi ini – ikut sahaja. Dengan perlahan, Anya cuba untuk duduk. Baju tidurnya juga pelik. Dia perlu telefon ibu bapanya dan tanya mereka kenapa dia perlu jumpa duke dan duchess. Anya tidak kenal wanita ini dan Anya tidak boleh percayakannya. Dia mengerut hidungnya. “Saya perlu pakai itu?”
“Apa salahnya?” Wanita itu memandangnya dan mengerut keningnya. Rambutnya berwarna coklat kusam dan beruban putih, matanya berwarna kelabu yang membuatkan Anya takut. “Ia diperbuat daripada sutera yang paling berkualiti. Kamu sendiri yang pilih corak ini.”
Anya tak pernah berbuat sedemikian, tetapi tiada sebab untuk Anya bertengkar dengan wanita itu. Anya mengeluh dan menghulurkan tangannya. “Baiklah. Bagi sini dan saya akan pakaikan.”
“Kamu tak perlukan bantuan?”
“Saya boleh buat sendiri. Dah bertahun saya pakaikan baju sendiri.” Jelas sekali yang wanita ini hidup seperti orang dahulu kala. Mana ada orang yang masih ada pembantu rumah.
“Mungkin kamu tidak sihat,” kata wanita tersebut dan datang menghampiri Anya. Wanita itu meletakkan tangannya ke atas kepala Anya. “Kamu tak panas.”
“Tolong jangan sentuh saya,” kata Anya dengan tegas. Dia merampas pakaian tersebut dan terus berdiri. “Sekarang, sila keluar supaya saya boleh tukar pakaian.”
“Hmmph,” kata wanita itu dengan tidak puas hati. “Nampaknya angin kamu baik harini. Mungkin kalau kamu tidak berjaga tengah malam buat entah apa-apa, kamu akan mendapat rehat yang secukupnya, daripada asyik marah-marah pada awal pagi. Jangan lengah-lengah. Duke dan duchess tidak akan tunggu seseorang seperti kamu untuk muncul.” Dengan kata-kata itu, dia hentak kaki keluar dari bilik itu.
Apa maksud dia? Dia ialah Lady Anya Montgomery, dan tiada orang yang pernah cakap sebegitu dengannya. Dia melondehkan baju tidurnya dan lihat ke dalam laci untuk mencari pakaian dalam, tetapi dia tak jumpa apa-apa kecuali sehelai baju sutera pendek. Ini pun boleh lah. Pakaiannya tidak begitu muat, tetapi dia masih boleh pakaikannya buat sementara waktu. Anya pakaikannya dan merenung pakaian birunya itu. Ada butang di bahagian belakang. Anya merungut. Dia bukakan dua butang dan menyarung pakaian itu. Nasib baik kepalanya muat untuk disarung. Anya kemudian bergelut untuk memakaikan dua butang lagi. Sekiranya Anya turun ke bawah, berpakaian selekeh, pastinya wanita teruk tadi akan mencari sebab untuk memarahinya.
Anya menghembuskan nafasnya dan mengeluh. Anya masih tidak tahu di mana dia berada, tetapi dia akan jumpa jawapannya tidak lama lagi. Dia duduk di meja solek dan mengambil sikat. Dia mula menyikat rambutnya yang sekat dan hampir terjerit. Bukan sebab sakit yang masih berdenyut di kepalanya, tetapi sebab bayangan yang muncul di cermin. Itu bukan Anya. Dengan perlahan, dia mengangkat tangannya dan menyentuh mukanya. Dia menekankan jarinya ke dalam pipinya beberapa kali sehingga menghasilkan kesan dari kukunya. Namun, dia terus menekan... dengan harapan... dengan penuh doa agar perkara yang dia takuti tidak akan menjadi kenyataan. Tak mungkin ini kenyataan. Ini adalah mimpi buruk... yang dia tidak dapat bangun.
Wanita itu panggil Ana, bukan Anya. Namanya cukup hampir untuk dia tidak sedar. Bagaimana kalau dia bukan lagi Anya, tetapi dia telah menjadi Ana. Mungkin itu dapat menerangkan segalanya. Namun, ia masih tidak dapat menerangkan bagaimana dia boleh dapati dirinya bangun dalam tubuh wanita lain. Ini seperti plot filem yang teruk, dan dia tidak sukakannya walaupun sesaat. Dia ingin menutup matanya dan mulakan semula harinya. Nampaknya ia mustahil.
Mungkin tidak... Dia boleh pergi baring dan menutup matanya. Kemudian, bila dia bukakan matanya sekali lagi, mungkin semua ini akan berakhir. Tiada lagi pertukaran tubuh dan pembantu rumah jahat yang akan seksanya. Patutkah dia sekurang-kurangnya cuba? Anya bergegas kembali dan memanjat katilnya. Dia menarik selimut menutupi kepalanya dan tutup rapat kelopak matanya.
Tiada apa-apa.
Mindanya tidak dapat berhenti fikir, dan nampaknya tidur itu mustahil. Dia perlu hadapi realiti; mimpi buruk ini telah menjadi kenyataan. Dia baring buat seketika, sukar untuk percaya, tetapi faktanya tetap sama. Namun, dia perlu hadapi kehidupan sebagai Ana dan cuba untuk tidak merosakkannya. Itu sama mustahil dengan situasi yang dia sedang hadapi...
Duke dan duchess ini, siapa pun mereka, mengharapkan seseorang bernama Ana untuk turun ke bawah. Jika dia gagal berlakon menjadi wanita ini, apa yang mereka akan katakan kepadanya? Dia perlu dapatkan sebanyak informasi yang boleh tanpa mendedahkan dirinya. Dia sudahpun gagal apabila dia menghalau pembantu rumah itu keluar dari biliknya.
Anya menarik nafas yang dalam dan menyikat rambutnya. Dia kemudian mendandan dan menyanggul rambutnya di bahagian bawah belakang lehernya. Ia tidak kelihatan anggun, tetapi sekurang-kurangnya ia sesuai dengan gaunnya yang kuno dan ketinggalan – sekurang-kurangnya itu pendapat Anya... Setelah itu selesai, Anya mencari kasutnya dan tinggalkan bilik itu. Setiap langkahnya diiringi dengan doa agar dia berjaya mencari ruang makan tanpa sebarang insiden...
Nampaknya nasib berpihak kepadanya... Dia terbiasa dengan rekaan rumah tersebut dan mencari sudut sarapan menjadi mudah. Anya menjejaki masuk ke dalam bilik tersebut dan dapati, apa yang dia fikir, sebuah keluarga empat beranak. Seorang lelaki, barangkali duke tersebut, duduk di hujung kepala meja, isterinya disebelahnya, seorang gadis yang berumur lingkungan 16 tahun, dan seorang kanak-kanak lelaki yang setengah umurnya.
Seorang wanita, yang dia fikir ialah duchess, memandangnya dan berkata, “Cik Ana.” Wanita itu berambut coklat keemasan dan matanya berwarna biru terang. “Sila sertai kami.” Dia mengarahkannya untuk duduk di sebelah kanak-kanak lelaki tadi. “Mathias,” katanya dengan marah. “Jangan main dengan oatmeal kamu dan makan.”
Anya cuba untuk tidak senyum dan duduk di sebelah kanak-kanak itu. Dia tunduk dan berbisik, “Saya pun tak gemar oatmeal.”
Dia memandang Anya dan mengerut keningnya. Matanya berwarna biru kelabu yang sangat